KUALA LUMPUR: 12 doktor kontrak ditahan untuk siasatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang awal pagi tadi.

Siasatan tersebut berkaitan tindakan mereka yang terbabit dalam demonstrasi Hartal Doktor Kontrak di PKRC.

Menurut sumber, siasatan itu dilakukan pada 12 tengah malam sehingga 4 pagi dan peguam tidak dibenarkan masuk untuk mewakili doktor-doktor berkenaan.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim-Bandar Bharu), berkata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba sudah pun memberi jaminan tindakan tidak akan diambil kepada doktor yang menyertai demonstrasi itu.

“Satu penjelasan tuntas harus diberikan. Dalam lingkungan hak mereka, mereka membuat tuntutan, menguar-uarkan. Tiada kekecohan dan tidak abaikan kepentingan pesakit.

“Menteri bagi jaminan tidak akan ambil tindakan. Alih-alih jam 12 tengah malam hingga 4 pagi, soal siasat dibuat dalam MAEPS dan peguam tidak dibenarkan masuk kerana tiada kebenaran,” katanya ketika menyampaikan perbahasan pada Sidang Khas Dewan Rakyat, hari ini.

Perkara itu sebelum itu dibangkitkan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) ketika mencelah sesi perbahasan berkenaan, yang disifatkan beliau boleh memberi tekanan mental kepada doktor kontrak berkenaan, selain bertentangan dengan beberapa undang-undang seperti Peraturan-Peraturan Lokap 1953.

Beberapa media hari ini melaporkan, seorang peguam dan aktivis hak asasi manusia mendakwa, seramai 12 doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman Hartal Doktor Kontrak di PKRC MAEPS Isnin lalu, diambil keterangan oleh pihak polis selama empat jam, bermula 11.45 malam tadi.

Semalam, Dr Adham memberi jaminan, tiada tindakan akan diambil ke atas semua doktor kontrak yang menyertai perhimpunan aman itu kerana mereka berhak membuat tindakan sedemikian.

Saifuddin berkata, tindakan itu harus dihentikan kerana boleh merosakkan semangat serta moral pasukan doktor berkenaan, yang sudah pun letih dari segi fizikal dan mental.

 

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini