Tindakan dua anggota polis memeras ugut dan meminta suapan berjumlah RM200 daripada sekumpulan pekerja penyelenggaraan lampu jalan membawa padah apabila mereka ditahan awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Khamis, kenderaaan dinaiki mangsa dan rakan sekerjanya ditahan oleh sebuah kereta peronda polis semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Beliau memberitahu, anggota polis berkenaan kemudian bertindak memeras ugut mangsa dengan memberitahu mereka kononnya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dengan menaiki kenderaan melebihi had ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata, anggota polis tersebut turut memberitahu mangsa bahawa kesemua mereka boleh dikompaun sebanyak RM2,000 atas kesalahan berkenaan.

“Kemudian anggota polis tersebut seterusnya meminta mangsa memberikannya wang sebanyak RM200,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fakhrudin memaklumkan beliau terkilan dengan kejadian itu disebabkan oleh tindakan majikan kepada pekerja penyelenggaraan terbabit menularkan kejadian tersebut menerusi Twitter miliknya sebelum mangsa membuat laporan polis sekitar jam 1 pagi Jumaat.

“Kedua-dua anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya sekitar jam 2.45 pagi pada Jumaat.

“Pada masa sama, wang suapan RM200 disyaki hasil pemerasan ke atas pengadu turut dirampas,” jelasnya.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini