Serdang : Malang tidak berbau buat penunggang motorsikal yang maut selepas dirempuh pemandu mabuk jam 9.28pm malam tadi.
Mangsa, Amirul berusia 22 tahun menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Kejadian malang itu berlaku di Jalan Persiaran Lestari Perdana, Seri Kembangan di mana sebuah pikap Toyota Hilux dari arah Puchong merempuh mangsa.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, pikap Toyota Hilux itu bertindak melarikan diri selepas melanggar motor Honda EX5 yang ditunggang mangsa yang sedang bergerak di bulatan menghala ke Seri Kembangan.
Namun, kejadian terbabit disedari oleh orang awam dan bertindak mengejar pemandu tersebut dan menahan suspek.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit yang berumur 51 tahun itu berada di bawah pengaruh alkohol melebihi kadar yang dibenarkan.
Ujarnya lagi, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

