Huru-hara situasi Covid-19 di negara kini pelu mendapat tindakan kerajaan yang lebih pantas bagi memastikan jutaan rakyat mempunyai wang mencukupi untuk membeli keperluan asas, gesa bekas menteri kewangan kedua, Johari Ghani.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan kerajaan tidak seharusnya berdasarkan tahap pendapatan semata-mata kerana ini akan menyebabkan ramai yang gagal dibantu.

“Pada awalnya, kita menguruskannya dengan baik. Namun, sejak pertengahan tahun lalu, satu persatu masalah timbul. Sekarang kita di bawah ‘lockdown’ dan saya sangat bimbang dengan nasib rakyat, terutamanya mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Setiap kali ‘lockdown’, pekerja sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri paling terkesan kerana bergantung kepada pendapatan harian,” kata beliau kepada FMT sambil menambah statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kira-kira 3.92 juta individu termasuk dalam dua kategori itu.

Bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, kerajaan seharusnya merangka strategi lebih terperinci bagi memastikan keperluan golongan rentan dijaga.

Beliau berkata, terdapat banyak aduan sejak dari perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama mengenai bantuan yang disalurkan tidak diterima golongan sasar, dengan laporan terbaru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) turut menunjukkan ramai penduduk miskin bandar masih bergelut.

Ini menunjukkan ketidakpadanan antara bantuan yang diperlukan rakyat dan yang ditawarkan kerajaan, katanya.

“Kita perlu semua wakil rakyat dan Ahli Parlimen turun padang serta mengenal pasti individu atau keluarga yang tidak mampu membeli makanan serta keperluan harian.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga hendaklah bekerjasama dengan wakil rakyat bagi mengagihkan bantuan serta memastikan tiada yang ketinggalan,” katanya.

Johari berkata, kerajaan persekutuan mesti memperuntukkan dana dengan segera untuk pembelian barang keperluan, yang boleh diperolehi daripada kawasan masing-masing untuk membantu memacu ekonomi tempatan.

 

1 komen

  1. ya memang betul kata kata yang di lemparkan
    keadaan semasa lockdown ramai terjejas
    spt usahawan semua juga bergantung harap pendapatan harian
    oleh yang demikian berilah jalan kepada semua agar mendapat hasil pendapatan.
    sekian terimakasih pada semua pihak
    semoga merasai keluhan rakyat.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini